Jun 12, 2020 - FASBerita baik buat kancah bola sepak Malaysia selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberikan kelonggaran untuk membenarkan latihan dijalankan mengikut SOP bermula 15 Jun ini.
Biarpun kebenaran itu tidak membabitkan sebarang bentuk pertandingan, berita ini sememangnya dinanti-nantikan ramai pihak terutamanya pegawai dan pemain.
“Saya sangat gembira dengan berita ini dan tidak sabar untuk berjumpa kembali dengan pemain-pemain saya,” kata Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner.
Michael juga menzahirkan rasa yakin bahawa pemain-pemain di bawah kendaliannya tetap bersemangat untuk berlatih semula walaupun terpaksa mengikuti sesi latihan mengikut SOP yang ketat.
“Saya berharap agar mereka dalam keadaan yang sihat dan selamat untuk kita mulakan semula projek melahirkan pemain-pemain pelapis kepada skuad utama Selangor di masa hadapan,” tambahnya.
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada awal tahun ini setakat ini telah menghentikan semua aktiviti profesional bola sepak seperti sesi latihan dan perlawanan kompetatif, jadi lampu hijau yang diberikan oleh kerajaan Malaysia ini sememangnya memberi lembaran baru kepada FAS dan komuniti bola sepak di Malaysia, secara amnya.